research on ”BERCAKAP”’
Monday, July 16th, 2007Kajian terbaru menunjukkan tabiat wanita dan lelaki sama saja
BUKAN lagi sesuatu yang baru jika ada yang berkata, perempuan lebih banyak bercakap daripada lelaki dan pastinya, kebanyakan yang berkata begitu adalah lelaki.
Bukan saja perempuan dikatakan kuat dan suka bercakap, malah dilabel sebagai `bising’, pembebel dan peleter. Anda bagaimana? Setuju dengan pandangan ini? Kalau anda lelaki, pasti anda setuju.
Kata-kata ini dulunya hanya sekadar omong kosong atau bersifat serangan peribadi terhadap jantina bertentangan, tidak disokong oleh sebarang kajian secara saintifik. Kini, kajian demi kajian dijalankan dan keputusannya, pelbagai.
Kajian oleh pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Sabitha Marican, yang dijalankan sejak 1998 hingga 2006 mendapati wanita Malaysia lebih banyak bercakap berbanding lelaki. Malah, wanita juga didapati lebih mahir berhujah berbanding lelaki.
Kajian itu mendapati wanita di negara ini banyak bercakap untuk menasihati, menegur dan membelai.
Hasil kajian ini selaras dengan satu kajian oleh pakar psikiatri dari University of California, Amerika Syarikat, Dr Luan Brizendine. Kajiannya menyebut wanita Amerika Syarikat bercakap kira-kira 20,000 perkataan sehari berbanding hanya 7,00 perkataan oleh lelaki. Susah hendak percaya bukan?
Tambahnya, wanita juga bercakap lebih cepat daripada lelaki dan membahagikan lebih banyak tenaga otak untuk berborak. Wanita `seronok’ mendengar suara sendiri, katanya.
Katanya, percakapan mudah juga sudah cukup untuk merangsang bahan kimia dalam otak yang memberikan `keseronokan’ kepada wanita seperti yang dialami penagih dadah apabila khayal.
Sebabnya? Semua ini, kata Dr Brizendine, adalah disebabkan perbezaan otak lelaki dan wanita. Hormon testosterone pada lelaki menjadikan otak lelaki `kurang berfungsi’ untuk komunikasi, emosi dan memori menjadikan lelaki kurang bercakap dan sukar meluahkan perasaan serta emosi berbanding wanita.
Malah, hormon berkenaan, kata Dr Brizendine yang mengendalikan klinik mood dan hormon di San Francisco, Amerika Syarikat mengurangkan saiz bahagian otak yang membabitkan pendengaran menyebabkan lelaki `pekak’ - sukar memahami dan menerima - apa yang diperkatakan isteri atau teman wanita.
Namun, satu kajian terbaru yang diterbitkan bulan ini mendapati wanita dan lelaki sama `hebat’ bila tiba bab bercakap.
Kajian oleh Pengerusi Jabatan Psikologi University of Texas, James Pennebaker membabitkan 400 penuntut universiti di Amerika Syarikat dan Mexico itu mendapati penuntut lelaki bercakap purata 15,669 perkataan sehari, hampir menyamai penuntut perempuan yang bercakap kira-kira 16,215 perkataan sehari.
Katanya, tidak kira lelaki atau wanita, kedua-duanya suka bercakap.
“Orang sering beranggapan wanita lebih banyak bercakap mungkin kerana mereka hanya mengambil kira situasi ketika berlaku konflik dalam hubungan intim lelaki dan perempuan.
“Banyak kajian menunjukkan lelaki lebih suka berdiam diri ketika bertengkar dengan pasangan berbanding wanita yang lebih suka meluahkan pandangan serta perasaan mereka,” kata Pennebaker.
Namun, katanya, lelaki menjadi sama `hebat’ bercakap seperti wanita dalam pelbagai topik lain.
Profesor psikologi di Yale University, Marianne LaFrance, berkata kedua-dua wanita dan lelaki banyak bercakap cuma yang membezakan mereka adalah topik yang diperkatakan. Jika ramai beranggapan wanita suka bergosip, hakikatnya, lelaki juga begitu, kata LaFrance.
Satu lagi penemuan menarik. Dr Brizendine berkata, `kelemahan’ lelaki dalam bab bercakap dan emosi membuatkan mereka lebih `gagah’ apabila berbicara mengenai seks! Tahukah anda, `alat pemprosesan seks’ pada otak lelaki - bahagian yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan seks - dua kali ganda lebih besar berbanding wanita.
Kata Dr Brizendine, kajiannya yang membabitkan 1,000 responden mendapati lelaki berfikir mengenai seks setiap 52 saat manakala wanita hanya memikirkannya sekali dalam sehari.
Apa pendapat anda? Anda banyak bercakap?http://www.bharian.com.my/Misc/IKON/Hari/zoom1/20070714135058/Article/